Ditulis oleh Syahiran Hanis
Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid pada majlis persandingan mereka
Acara kemuncak perkahwinan ialah bersanding. Bersanding adalah satu acara di mana pasangan mempelai duduk di singgahsana di atas pelamin yang dihias dengan indah. Mereka dilayan seperti raja dan ratu untuk sehari. Rakan, saudara mara dan tetamu mengucapkan doa dan tahniah mereka dan menaburkan beras kuning dan bunga sebagai tanda kesuburan.
Kebanyakan pasangan pengantin memilih untuk memakai pakaian Melayu tradisional pada hari perkahwinan mereka. Ia diperbuat daripada sehelai kain tenunan tangan bersulamkan benang-benang keemasan yang dipanggil kain songket. Mak andam selalunya ditugaskan untuk berkhidmat sebagai jurusolek dan perunding pengantin perempuan untuk hari istimewa tersebut.
Majlis bermula dengan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan dan diiringi oleh paluan kompang serta bunga manggar. Paluan kompang pula pada kebiasaannya diiringi dengan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai doa untuk pasangan kedua mempelai.
Bila pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan, rakan dan saudara mara akan cuba menghalang dari sampai ke pengantin perempuan. Pengantin lelaki terpaksa membayar tol untuk mendapat kebenaran bersama pengantin perempuan.
Setelah itu, kedua-dua mempelai akan makan bersama. Pada masa lalu, majlis ini dahulunya diadakan secara tertutup dengan hanya kehadiran ahli keluarga. Pada waktu inilah pengantin perempuan melayan makanan suaminya buat kali pertama. Hari ini, pasangan mempelai biasanya menjamu bersama dengan tetamu mereka.
Majlis bersanding kedua atau lebih dikenali sebagai bertandang diadakan di rumah pengantin lelaki. Bertandang biasanya diadakan beberapa hari selepas bersanding. Ada juga yang mengadakan pada hari yang sama dan ada juga yang menggabungkan kedua majlis pada satu hari sama ada di dewan atau hotel.