Jodoh, ajal dan kematian merupakan takdir yang ditentukan Yang Maha Esa. Hujung minggu lepas, tersebar bukti cinta sampai mati seorang pemuda terhadap wanita yang sempat bergelar isterinya dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Arwah Fatin Nursyahirah, 24 tahun meninggal dunia sehari selepas diijabkabulkan dengan suaminya, Mohamad Saiful Azzam Mohmed, 25 akibat sakit kanser mesenchymal chondrosarcoma, sejenis kanser yang rare. Arwah Fatin Nursyahirah mula dikenal pasti menghadapi penyakit itu sejak September 2017.
Ikuti coretan menyayat hati yang ditulis abang kepada arwah Fatin, Syukur Yusof di laman Facebooknya.
Sungguh hebat ujianMu
CORETAN BUAT KAKAKKanser? Malas ambil pusing sebab tak kena batang hidung sendiri. Tahun 2017, di PPUM adikku yang…
Posted by Shukur Yusuf on Friday, August 3, 2018
Arwah kekal bersemangat siapkan barang hantaran perkahwinan
Abang sulung kepada Fatin Nursyahirah, Hasrul Yusri Anuar Yusof memberitahu Astro Awani yang adiknya merupakan seorang yang sentiasa positif dan bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinan seperti baju dan hantaran.
Titik perkenalan pasangan ini bermula sejak tahun 2013 lagi ketika Azzam berniaga di Tapak Pesta Pulau Pinang 2013. Perkenalan mereka bersambung semula pada tahun 2015 apabila bertemu di media sosial, sebelum menyemai bibit-bibit cinta selama hampir 2 tahun.
Mereka bertunang pada 17 Jun 2018 yang lalu dan bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada 18 Ogos ini. Namun, langit tidak selalunya cerah apabila kesihatan Fatin Nursyahirah semakin merosot pada penghujung Julai yang lalu, jadi mereka mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis pernikahan.
Majlis yang cukup ringkas, tapi amat bermakna
Majlis pernikahan mereka berlangsung dalam suasana yang cukup ringkas. Hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, tiada baju pengantin malah, Fatin Nursyahirah hanya mampu terbaring di katil ketika Azzam melafazkan akad nikah.
Abang kepada Fatin Nursyahirah, Syukur Yusuf menceritakan bagaimana adik iparnya amat tabah dan menyayangi adiknya itu walaupun setelah diberitahu mengenai keadaan Fatin Nursyahirah. Azzam tidak bertindak untuk meninggalkan Fatin Nursyahirah, sebaliknya dia yakin dan percaya yang Fatin Nursyahirah bakal sembuh semula.
Azzam begitu ikhlas mahu memperisterikan Fatin Nursyahirah dan disebabkan itu kedua-dua belah pihak keluarga setuju mempercepatkan pernikahan mereka dan ia juga dipersetujui adik saya sendiri sebelum mereka dinikahkan pada 11 pagi, Jumaat lalu.
ujarnya lagi.
Pernafasan tidak stabil, paru-paru lemah
Majlis pernikahan mereka berlangsung seperti biasa, dengan majlis sarung cincin dan bergambar bersama keluarga. Tapi lepas solat Jumaat, keadaan Fatin Nursyahirah menjadi semakin lemah dan pernafasannya tidak stabil. Arwah yang memerlukan bantuan oksigen kemudiannya dirujuk semula ke Hospital Jitra.
Namun, Dia yang lebih mengetahui. Tak sampai tempoh 24 jam, Fatin Nursyahirah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5:20 pagi disamping ahli keluarga dan suaminya.
Mesin oksigen yang digunakan tidak cukup kuasa, maka dia terus dirujuk semula ke Hospital Jitra. Di situ dia diberi bantuan pernafasan menggunakan mesin oksigen dengan kapasiti yang lebih tinggi. Malam itu, semua ahli keluarga rapat tunggu dia di hospital termasuk suaminya, Saiful Azam, hingga ke pagi. Kira-kira pukul 5.20 pagi, dia (Nur Syahirah) sudah pergi..
ujar Hasrul Yusri.
Allahyarham Fatin Nur Syahirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muttaqin Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah selepas solat Asar petang 4 Ogos yang lalu.
Al-Fatihah untuk arwah dan takziah untuk suami serta ahli keluarga Fatin Nursyahirah.