Our Wedding Journal

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Wang Hantaran & Mas Kahwin Tidak Sama!

Ramai yang masih keliru dengan maksud sebenar wang hantaran. Ada yang beranggapan wang hantaran dan mas kahwin ialah perkara yang sama. Pada hakikatnya, wang hantaran ialah wang yang diberikan daripada pasangan lelaki kepada pasangan perempuan sebagai hadiah dan tidak wajib diberikan seperti mas kahwin. Oleh itu, wang hantaran ditentukan oleh kemampuan pihak lelaki serta budi bicara ibu bapa pihak perempuan. Biasanya, nilai wang hantaran diletak mengikut taraf pendidikan pasangan perempuan.

Tidak ada had atau nilai tertentu untuk wang hantaran. Mawi telah memberi cek bernilai RM30,000 kepada Ekin pada hari perkahwinan mereka pada 2008. Untuk perkahwinan Yusry dan Erra Fazira pula pada 2003, jumlah wang hantaran ialah RM33,333.33.

Biasanya, wang hantaran akan diberi sebelum hari perkahwinan dan pihak perempuan akan menggunakan wang hantaran untuk membuat persiapan majlis perkahwinan seperti khemah, pelamin dan jamuan. Wang hantaran akan dipamerkan bersama hantaran lain dalam bentuk cek yang dibingkaikan dan dihiaskan mengikut tema perkahwinan.

Ada juga pasangan yang menyatukan wang hantaran dengan mas kahwin. Contohnya, perkahwinan diadakan di Selangor dan wang hantaran dipersetujui pada nilai RM10,000. Maka, pasangan lelaki harus melafazkan mas kahwin sebanyak RM10,300 semasa akad nikah. Jadi, cek bernilai RM10,300 akan diletakkan bersama hantaran lain untuk dipamerkan.

Wang hantaran juga menghadapai masalah yang sama seperti mas kahwin di mana pihak perempuan meletakkan nilai yang terlalu tinggi sehingga di luar kemampuan pasangan lelaki. Ada juga yang membuat permintaan luar biasa seperti nilai hantaran mengikut angka hari lahir atau nombor kesukaan. Permintaan ini mungkin memberikan keunikan kepada hari perkahwinan tetapi pada masa yang sama meletakkan tekanan yang tinggi kepada pihak lelaki. Walaupun hari istimewa ini merupakan pengalaman sekali seumur hidup, ia tidak bermakna anda harus berbelanja besar sehingga membazir dan berhutang.

  

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Wang Hantaran & Mas Kahwin Tidak Sama! was last modified: May 1st, 2024 by Stephanie