Our Wedding Journal

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Pertunangan

Langkah-langkah untuk meminang kekasihmu

Setelah melalui peringkat merisik, tiba pula masa untuk meminang atau bertunang. Inilah masanya untuk calon lelaki menukar status calon pasangannya dari bujang ke berpunya. Jadi, jika ada calon lelaki lain yang datang merisik, rombongan berkenaan terpaksa pulang dengan tangan kosong.

By Syahiran Hanis

Apakah perbezaan antara merisik dengan meminang?

Upacara meminang hampir sama seperti merisik. Apa yang berbeza ialah hantaran. Hantaran ialah hadiah dalam bentuk barangan atau makanan yang akan ditukar antara kedua-dua belah pihak. Kebiasaannya rombongan lelaki akan membawa 5 hantaran untuk ditukarkan dengan 7 hantaran daripada pihak perempuan. Tiada nilai tertentu dikenakan untuk hantaran tersebut.

 

Majlis Pertunangan

Majlis pertunangan secara umum disambut dengan lebih meriah berbanding merisik. Inilah masanya kedua-dua belah pihak berkenalan antara satu sama lain dan berbincang tentang persiapan perkahwinan. Antara perkara yang dibincangkan ialah tarikh akad nikah, bersanding dan bertandang serta nilai wang hantaran. Biasanya, tempoh bertunang ditetapkan selama 6 bulan atau setahun. Dalam tempoh tersebut, kedua-dua pasangan berpeluang mengenali antara satu sama lain dan juga menguruskan persiapan perkahwinan.

Wang hantaran ialah wang yang diberikan daripada calon lelaki kepada pasangannya. Nilai wang hantaran biasanya ditetapkan oleh ibu bapa calon perempuan. Namun begitu, nilai wang hantaran masih boleh dirunding oleh pihak lelaki mengikut kemampuannya. Pada masa kini, nilai wang hantaran pada kebiasaannya bermula dari RM10,000 dan meningkat mengikut taraf dan kemampuan.

Majlis akan bersurai setelah rombongan lelaki dijamukan dengan hidangan makanan daripada pihak perempuan. Dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, calon lelaki dan perempuan diikat dengan talian pertunangan sehingga hari pernikahan di mana mereka berdua diijab kabulkan sebagai suami isteri.

 

Gambar-gambar majlis pertunangan Datin Fatin Liyana di bawah dimilki oleh honeykoyuki.blogspot.com

  

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Pertunangan was last modified: May 2nd, 2024 by Stephanie