Our Wedding Journal

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Malam Berinai

By Syahiran Hanis 

Malam berinai merupakan tradisi perkahwinan Melayu yang semakin dilupakan. Pada zaman dahulu, malam berinai terbahagi kepada dua iaitu berinai kecil dan berinai besar. Malam berinai kecil biasanya diadakan pada waktu petang tiga malam sebelum hari perkahwinan. Hanya keluarga terdekat yang hadir pada majlis ini yang bertujuan untuk menghiaskan pengantin perempuan. Inai akan dihiaskan pada kedua-dua belah tangan dan kaki pengantin perempuan. Pengantin lelaki juga diletakkan inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan sahaja.

Malam berinai besar pula diadakan pada malam sebelum hari perkahwinan. Rakan-rakan dan saudara mara dijemput hadir untuk memeriahkan majlis yang akan melihat tetamu lelaki melemparkan sedikit nasi kunyit di sebelah kiri dan kanan pengantin lelaki. Proses yang sama diulang dengan menggunakan bertih dan tangkai daun wangi dicelup dalam air daun setawar. Akhir sekali, sedikit pes inai diletakkan di atas daun sirih dan diletakkan pada tapak tangan pengantin lelaki.

Pada zaman sekarang, malam berinai dilihat sebagai proses yang tidak perlu dan meningkatkan kos perkahwinan. Jadi, hanya mereka yang mampu mengadakan malam berinai tetapi hanya untuk bersuka-suka. Ada sesetengah yang menyertakan acara mandi bunga pada majlis malam berinai.

Majlis berinai Sharifah Sakinah baru-baru ini merupakan contoh malam berinai moden yang dilakukan oleh masyarakat Melayu sekarang. Rakan-rakan terdekat bersama keluarga hadir untuk memeriahkan majlis. Jamuan dan persembahan disediakan untuk tetamu berhibur dan menjadikan suasana bersuka ria.

  

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Malam Berinai was last modified: May 1st, 2024 by Stephanie