Our Wedding Journal

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Akad Nikah

Ditulis oleh Syahiran Hanis

Dalam sesebuah perkahwinan Melayu, akad nikah merupakan upacara terpenting. Tanpa akad nikah, pasangan mempelai tidak dapat diiktiraf sebagai suami isteri secara sah. Akad nikah merupakan lafaz ikrar pernikahan.

Akad nikah selalunya diadakan di masjid atau di rumah pasangan perempuan. Sudah tentu lokasi masjid lebih baik tetapi kesemua pihak terlibat perlu menjaga tatatertib ketika berada di masjid seperti menutup aurat dan suci daripada hadas besar seperti haid. Kebanyakan masjid mempunyai ruang khas untuk menjalankan upacara akad nikah.

Akad nikah melibatkan lafaz ijab oleh wali iaitu ayah perempuan atau juru nikah dan lafaz qabul oleh pihak lelaki. Contoh lafaz ijab ialah “Aku nikahkan dikau dengan Siti Nurhaliza dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai”. Calon lelaki akan menjawab dengan lafaz qabul iaitu “Aku terima nikah Siti Nurhaliza dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai”.

Sebelum ijab qabul dilafazkan, juru nikah perlu memberi khutbah sebagai peringatan untuk kedua-dua mempelai. Kebiasaannya, calon lelaki akan ditanya beberapa soalan seperti rukun nikah. Rukun nikah terdiri daripada lima iaitu calon lelaki, calon perempuan, wali, dua orang saksi dan lafaz ijab qabul. Jadi, calon lelaki perlulah bersedia untuk menghadapinya.

Ramai beranggapan lafaz qabul perlu dilakukan dengan satu nafas tetapi ini tidak benar. Apa yang penting ialah lafaz qabul dilakukan dengan lancar dan jelas. Jika lafaz qabul disahkan oleh kedua-dua saksi, maka barulah kedua-dua mempelai sah bergelar suami isteri.

  

Adat Perkahwinan Melayu 101 – Akad Nikah was last modified: May 1st, 2024 by Stephanie