Our Wedding Journal

Adat Perkahwinan Melayu 101 – 4 tip untuk merisik

Melangkah ke alam perkahwinan merupakan impian ramai tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai persiapan perlu diatur terutama sekali sebelum langkah pertama diambil. Berikut ialah beberapa tip atau adat untuk kedua-dua belah pihak lelaki dan juga perempuan untuk upacara merisik:

By Syahiran Hanis

  1. Pilih wakil yang sesuai

Tip ini ialah khusus untuk pihak lelaki. Memandangkan seorang wakil akan mengetuai rombongan merisik pihak lelaki, sila buat pilihan yang sesuai. Kebiasaannya, bapa atau ibu saudara calon lelaki yang akan menjadi wakil tetapi jika terdapat ahli keluarga lain yang mempunyai pengalaman merisik atau petah berkata-kata dan berpantun, mereka patut mewakili pihak lelaki untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar.

 

  1. Rombongan sederhana

Satu lagi tip untuk pihak lelaki ialah bawa rombongan sederhana. Ingat bahawa ini hanya rombongan merisik dan bukan meminang. Tujuannya hanya untuk bertanya dan mungkin ada kemungkinan lamaran ditolak. Jadi, tidak perlu untuk menarik perhatian jiran-jiran dengan rombongan yang besar. Simpanlah niat tersebut untuk majlis pertunangan akan datang.

 

  1. Jaga batas

Ketika dalam proses merisik, kedua-dua belah pihak terutama sekali calon perempuan perlu menjaga batas dan kelakuan. Kebiasaannya, calon perempuan akan berada di dalam bilik sepanjang proses merisik dan hanya akan keluar seketika untuk menghidangkan air dan makanan. Sudah tentu calon perempuan perlu menunjukkan sifat yang terbaik agar pihak lelaki yakin dengan pilihannya.

 

  1. Hormati keputusan

Dalam mana-mana majlis merisik, tidak semuanya berjalan seperti yang diharapkan. Ingat bahawa tujuan merisik ialah untuk bertanya dan kadang kala pertanyaan itu tidak dijawab seperti yang diharapkan. Oleh itu, bersedia untuk apa-apa kemungkinan. Hormatilah keputusan pihak perempuan.

  

Adat Perkahwinan Melayu 101 – 4 tip untuk merisik was last modified: May 1st, 2024 by Stephanie